Monday, 27 February 2017

ANTARA SKOR ANALITIK DAN RUBRIK

Salam buat semua pembaca.



Apakah skor analitikal?
Skor analitikal merupakan peraturan markah berdasarkan coding F, H dan C. Setiap satunya memperuntukkan 1 markah.  Adakalanya secara 'borong' (mana-mana F/H/C dapat markah) dan ada kalanya perlu berstruktur (setiap fakta perlu disokong dengan huraian fakta); bergantung kepada penyelarasan peraturan pemarkahan. Skor analitikal merupakan skor yang lazim digunakan dalam penandaan Sejarah Kertas 2 sebelum SPM 2014. Pemeriksa akan menanda dengan meletakkan coding pada isi jawapan calon sama seperti coding dalam peraturan pemarkahan.

Apakah skor rubrik?
Skor rubrik merupakan peraturan pemarkahan yang dinilai secara holistik berdasarkan ketepatan fakta, olahan dan kupasan yang komprehensif serta matang malah boleh membuat inferens dan laras bahasa yang gramatis dan menarik. Dalam peraturan pemarkahan rubrik tidak ditetapkan coding, tetapi dalam penandaan, pemeriksa perlu meletakkan sendiri coding berdasarkan wisdom pemeriksa. Justeru, peraturan pemarkahan secara rubrik ini memerlukan pemeriksa memiliki disiplin yang mendalam dalam satu-satu pengetahuan sejarah. Ia mula diperkenalkan mulai SPM 2014. Pemeriksa akan baca keseluruhan isi jawapan calon secara menyeluruh untuk mendapatkan impression pertama. Seterusnya, pemeriksa akan menanda secara wisdom coding. Seterusnya pemeriksa akan nilai dari segi aras skor sama ada 1, 2, 3 atau lebih tinggi. Setiap aras ada skor tertentu seperti aras 1, markahnya 1 hingga 2, aras 2, markahnya 3-4 hingga seterusnya.

Mengapa skor rubrik?
Selari dengan hasrat KPM untuk melahirkan calon yang berkeupayaan berfikir secara aras tinggi berdasarkan PPPM 2015-2020. Ya..kemenjadian murid. Seterusnya skor rubrik mampu membezakan calon yang layak mendapat markah sepatutnya dan sewajarnya. Rumusnya, kaedah ini menekankan disiplin ilmu dan tiada jalan mudah/singkat untuk mendapat markah penuh berbanding peraturan pemarkahan secara analitik. Kesannya, walaupun terdapat dua orang calon yang mempunyai isi yang sama tetapi aras skor adalah tidak sama kerana kematangan jawapan calon itu.

Adakah skor rubrik mendiskriminasikan calon?
Secara teknikalnya ya..kerana telah ditetapkan aras, namun tujuannya adalah untuk memberikan markah yang selayaknya kepada calon. Ini kerana murid cemerlang akan berusaha dengan lebih gigih berbanding calon lain, secara teorinya. 

 Yang mana satu lebih penting? Skor analitik atau rubrik?
Sebenarnya tidak perlu membahaskan persoalan ini kerana yang penting calon menulis jawapan. Soal aras jawapan murid ia bergantung kepada bimbingan guru yang berterusan. Terpulang kepada LPM sama ada peraturan pemarkahan dibanyakkan rubrik atau sebaliknya atau sama rata.

Penekanan dan strategi kepada guru. 
Kepada guru, jangan kelirukan calon dengan terlalu menekankan kaedah penandaan rubrik. Sebaliknya bimbinglah mereka bagaimana menulis isi jawapan yang baik. Ini kerana, peranan calon ialah menjawab, manakala peranan guru pula ialah memeriksa dan menanda. Disyorkan untuk kelompok calon cemerlang, bimbinglah sehingga mereka boleh menulis jawapan yang komprehensif. Untuk calon lemah pula, jangan sekat idea mereka dengan kaedah rubrik ini, sebaliknya rangsang mereka dengan menulis idea jawapan yang munasabah tanpa memikirkan betul atau salah jawapan mereka dan jangan biarkan ruangan jawapan kosong tidak berjawab. Tidak mengapa sekiranya mereka menulis esei mudah. Sekiranya calon lemah tersebut dapat 2 hingga 3 markah daripada 6 markah penuh, sudah cukup bagus bagi mereka. Rumusnya, bimbing dan terus bimbing calon lemah ini sehingga mereka mampu memberi jawapan yang memuaskan. 

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat buat semua. Wallahualam.

Tajuk 9:Pengskoran Pentaksiran

TAJUK 9
(PENGSKORAN PENTAKSIRAN)

SINOPSIS
Skor yang diperolehi oleh seseorang murid bergantung kepada prestasi jawapan yang diberikan oleh setiap soalan yang dijawab. Di samping prestasi menjawab, skor yang diperolehi juga dipengaruhi oleh cara pemarkahan oleh guru atau pemeriksa. Pada umumnya dalam sesuatu peperiksaan atau ujian, penggubal soalan atau guru akan menyediakan skema pemarkahan sebagai panduan bagi memeriksa skrip jawapan murid. Skema pemarkahan perlu disediakan oleh guru lebih awal supaya ia dapat membantu guru mengenalpasti soalan yang mungkin perlu diperbaiki atau dibuang.
            Dalam usaha menyediakan skema pemarkahan bagi pemeriksa kertas jawapan, tiga aspek yang perlu diberikan perhatian oleh guru atau penyedia skema pemarkahan ialah:
1.         Kandungan – mencakupi aspek maklumat atau pengetahuan yang berkaitan;
2.         Pengelolaan – aspek penggunaan bahasa – lancar, tepat dan matang, dan
3.         Proses – aspek ketepatan, munasabah, komperehensif, konsisten, keaslian dan daya kreatif menjawab.
Secara umumnya, skema pemarkahan terbahagi pada dua
cara iaitu skema pemarkahan holistik dan skema pemarkahan analitik.

HASIL PEMBELAJARAN
1.         Menjelaskan maksud penskoran rubrik, analitik dan holistik.
2.         Menyediakan penskoran rubrik , analitik dan holistik.

                                                                       
KERANGKA TAJUK-TAJUK

PENSKORAN
PENTAKSIRAN





PENSKORAN RUBRIK
            Skema penskoran rubrik merupakan skema yang dibuat oleh guru atau penilai sebagai panduan untuk menganalisis hasil atau proses yang dilakukan oleh pelajar.

Kegunaan pengskoran rubrik:

 1.        Diperlukan untuk menilai penguasaan subjek atau aktiviti yang dilakukan oleh murid.
2.         Digunanakan sebagai panduan untuk menilai sampel yang dibuat oleh pelajar.
3.         Juga digunakan untuk menilai aktiviti kumpulan, projek dan juga pembentangan lisan oleh pelajar.
4.         Kegunaanya bergantung kepada tujuan penilaian bukannya bergantung kepada aras gred atau subjek.

Pengskoran rubrik menyediakan panduan pada setiap aras yang diperlukan untuk menilai pelajar. Panduan penialain ini membolehkan pelajar memahami mengapa mereka mendapat sesuatu markah dan mereka perlu mempertingkatkan pencapaian mereka di masa hadapan.
                                                           
Kelebihan pengskoran rubrik:

1:  Menyokong peperiksaan di mana spesifik kriteria telah dicapai.
2: Menyediakan maklumbalas kepada pelajar bagaimana mereka boleh meningkatkan pencapaian mereka.

PENGSKORAN HOLISTIK

Skema pemarkahan yang disediakan secara umum sebagai panduan. Skema ini sesuai bagi pemarkahansoalan berbentuk karangan atau esei.  Pemarkahan diberi berdasarkan impression.  Pemarkahan secara holistik memerlukan pemeriksa terlebi dahulu secara keseluruhan jawapan yang diberikan oleh murid dan kemudian mengelaskan atau menelompokkan pencapaian mengikut kelompok pencapaian ikut kumpulan atau kelompok pencapaian sebelum menganggarkan pemberian markah keseluruhan bagi sesuatu soalan.  Murid bebas memberikan jawapan asalkan tidak menyeleweng daripada kehendak soalan.  Pemeriksaan secara holistik ini memerlukan pemeriksa atau guru yang berpengalaman dan benar-benar menguasai bidang atau mata pelajaran berkenaan.

Contoh skema pemarkahan secara holistik :

Skema pemarkahan secara holistik.

Markat
Kriteria
5
Cemerlang-menguasai semua objektif serta dapat berhujah dengan baik dan berkesan.
4
Baik-menguasai kebanyakan objektif dan dapat memberikan hujah dengan baik dan berkesan.
3
Memuaskan- menguasai hampir sebahagian besar objektif dan memberikan hujah dengan memuaskan.
2
Lemah – Menguasai sebahagian kecil objektif dan hujah yang diberikan tidak memuaskan.
1
Kurang memuaskan – belum menguasai sebarang objektif dan hujah adalah lemah.
0
Gagal – gagal memberikan sebarang jawapan dan hujah amat lemah.

            Skema pemarkahan secara holistik mempunyai kelebihan dari segi pemeriksaan kertas jawapan yang lebih cepat berbanding cara analitis.  Walaupun begitu cara pemarkahan sebegini kurang objektif.  Langkah meningkatkan keobjektifan dapat dilaksanakan melalui mesyuarat penyelarasan atau pemurnian markat antara guru berkenaan.  Dalam mesyuarat berkenaanketua bagi pemeriksaan skrip peperiksaan akan memberikan panduan memeriksa skrip jawapan diikuti dengan latihan tertentu.

PENGSKORAN ANALITIK

Pemarkahan secara analitik lebih terperinci daripada holistik.  Ia mengandungi nilai tara isi kandungan, pengelolaan dan proses yg lebih khusus.  Misalnya penentuan pemberatan jawapan, banyaknya fakta serta kualiti hujah yang diberikan untuk pertimbangan, layak diberikan markat penuh, dan agihan markat berdasarkan aspek seperti markat untuk isi, persembahan, bahasa ataupun isi mengikut fakta.
           






Contoh skema pemarkahan analitik :

Kriteria
Aras Pencapaian
Bilangan sumber
0 - 4
5 - 9
10 - 12
Ketepatan isi
Tidak ada isi yang tepat
Sedikit isi yang tepat
Banyak isi yang tepat
Organisasi
Tidak dapat menyatakan sumber maklumat diperolehi
Sukar menyakatan sumber maklumat diperlehi
Senang menyatakan sumber maklumat diperolehi
Bibliografi
Bibliografi mengandungi sedikit maklumat yang relevan
Bibliografi mengandungi banyak maklumat yang relevan
Bibliografi mengandungi kesemua maklumat yang relevan

Pemarkahan secara analitik lebih objektif berbanding dengan holistik. Hal ini disebabkan skemanya yang lebih terperinci. Walaupun begitu pemarkahan begini akan mengambil masa yang lama lebih-lebih lagi sekiranya bilangan calon yang ramai.
            Bagi meningkatkan keberkesanan pemeriksaan soalan berbentuk esei, langkah yang boleh anda lakukan sebagai seorang guru adalah dengan cara:
1.         Memahami kehendak soalan. Pemeriksa perlu benar-benar memahami kehendak soalan.
2.         Menyediakan skema pemarkahan. skema harus fleksibel, iaitu boleh ditokok tambah dan dibaiki apabila meninjau tindak balas calon. Murid mungkin memberikan jawapan yang tidak terdapat dalam skema tetapi idea itu boleh diterima.
3.         Mengadakan penyelarasan sebelum peperiksaan.
4.         Memeriksa beberapa skrip jawapan murid terlebbih dahulu.
5.         Memeriksa jawapan hingga selesai.
6.         Mengelak daripada mengenali nama murid.
7.         Memberikan ulasan pada kertas jawapan

Saturday, 7 January 2017

APA ITU PENGAJARAN MAKRO???

Konsep Pengajaran Makro
Pengajaran Makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula dari pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.[1] Dalam erti kata lain, pengajaran makro ialah satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari set induksi hingga penutup. Pelaksanaannya perlulah mengandungi elemen-elemen berikut; dilakukan di kelas yang besar, perlu murid sebenar, guru mengajar sepenuh waktu, tumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar dan situasi sebenar.[2] Pengajaran makro juga merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yg disokong oleh perancangan pengajaran pembelajaran yang sekian lama dipelajari. 
Proses pengajaran makro yang dijalankan di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman umpamanya, mesti dipraktikkan oleh guru pelatih dengan diperhatikan rakan pelatih yang lain. Pengajaran makro tersebut berdasarkan masa pengajaran sebenar seperti yang ditetapkan sama ada menggunakan masa 30 minit atau 40 minit. Ianya bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah di sekolah.

Prinsip Pengajaran Makro
Antara prinsip pengajaran makro ialah:[3]

Ø  Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam pengajaran makro, guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan pelajar. Guru hendaklah menyatakan objektif secara tepat dan jelas bagi setiap pengajaran yang dirancang berasaskan tajuk-tajuk yang dikenal pasti.
Ø  Jumlah Pelajar
Jumlah pelajar yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam kelas sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan karenah para pelajar.
Ø  Strategi Pengajaran
Dalam pengajaran makro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.
Ø  Jangka Masa Pengajaran
Jangka masa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas yang memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit satu masa. Ekoran itu, guru perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang ditetapkan.
Ø  Bahan Pelajaran
Dalam pengajaran makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan adalah menyeluruh.
Ø  Perbincangan dan Refleksi
Penilaian kendiri perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid di samping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.

       
Prosedur Pengajaran Makro (Sebelum, Semasa dan Selepas)

Sebelum Pengajaran (Persediaan Pengajaran)
Sebelum melaksanakan sesuatu sesi pengajaran makro, guru pelatih perlulah merancang dan menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap dan baik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan akan meningkatkan pencapaian akademik murid dan mengurangkan masalah-masalah disiplin. Berikut ialah aspek-aspek penting dalam persediaan sebelum pengajaran:-[5]

1 Perancangan pendahuluan
v  Penentuan topik
v  Kebolehan sedia ada murid-murid
v  Objektif/hasil pembelajaran

2 Perancangan penyampaian
v  Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran
v  Penentuan masa
v  Pemeringkatan isi
v  Pemilihan sumber

3 Perancangan penilaian
v  Pencapaian
v  Penganalisisan maklum balas
v  Pengubahsuaian 


Semasa Pengajaran (Pelaksanaan Pengajaran)
Semasa hendak melaksanakan pengajaran makro ini guru pelatih perlulah merancang set induksi pengajaran yang baik dan menarik perhatian serta minat murid kepada pengajaran yang hendak disampaikan dan dapat menggalakkan pembelajaran. Set induksi juga digunakan bagi mengaitkan pelajaran yang lepas atau dengan pengetahuan sedia ada murid. Jangka masa yang baik bagi set induksi adalah antara tiga hingga lima minit.
            Seterusnya, perkembangan pengajaran yang merujuk kepada langkah-langkah mengajar yang disusun berperingkat-peringkat berdasarkan prinsip-prinsip pengajaran. Guru pelatih juga perlu merancang langkah-langkah pengajaran yang berturutan, disusun dengan baik dan mencatat anggaran masa yang sesuai. Langkah-langkah yang dirancang ada kaitannya dengan objektif khusus yang sudah dicatatkan.
            Guru pelatih juga perlu memilih dan menyusun isi pelajaran yang hendak disampaikan. Ia perlulah sesuai dengan kebolehan serta minat murid. Isi pelajaran tersebut perlu dipertingkatkan dan diperkembangkan dengan teliti supaya situasi pembelajaran yang unggul dapat diwujudkan. Ketika melakukan pemeringkatan isi, guru pelatih hendaklah menyenaraikan semua topik yang hendak diajar, kemudian fikirkan sub topik atau isi yang manakah yang perlu diawalkan dan yang boleh diajar kemudiannya. Untuk itu guru pelatih perlulah melihat prinsip-prinsip berikut:
ü  Dari yang susah diketahui kepada belum diketahui
ü  Dari mudah kepada kompleks
ü  Dari konkrit kepada abstrak
ü  Dari dekat kepada jauh
ü  Dari yang dalam pengalaman kepada yang di luar pengalaman
            
Bagi menyampaikan sesuatu isi pelajaran dengan berkesan, guru pelatih hendaklah memikirkan strategi yang akan digunakan. Pemilihan strategi yang bijaksana akan menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran, strategi pengajaran yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan mutu penyampaian malahan akan menjadikan satu-satu pelajaran itu lebih bermakna serta menyeronokkan murid-murid.
Selain itu, guru pelatih juga harus menjalankan aktiviti untuk mengukur sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai. Aktiviti penilaian boleh dijalankan secara pemerhatian terhadap aktiviti susulan, pemeriksaan kerja murid atau melalui ujian lisan atau tulisan. Maklumat-maklumat yang didapati dari pentafsiran penilaian ini akan menjadi asas untuk membuat pengubahsuaian terhadap pengajaran seterusnya.
Bahagian penutup yang merupakan bahagian terakhir dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran di mana guru membantu murid menyimpul dan membuat rumusan yang berkaitan isi-isi penting serta memberi latihan atau aktiviti pengukuhan kepada murid-murid. Guru juga perlu memberikan rasa kepuasan belajar dan menggerakkan murid-murid supaya bersedia untuk pelajaran akan datang. Hal ini bertepatan dengan pernyataan Ee Ah Meng (1991) yang membahagikan penutup kepada dua bahagian, iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif biasanya digunakan apabila guru menyenaraikan isi-isi penting sesuatu pelajaran dengan tujuan mengukuhkan apa yang telah dipelajari. Manakala penutup sosial pula bertujuan memberikan suatu perasaan pencapaian kepada murid-murid di hujung pengajaran satu-satu topik.[6]
Di sepanjang proses pengajaran makro ini dilaksanakan pelbagai kemahiran dapat diterapkan dan dikuasai oleh para guru pelatih setelah mereka melalui proses pengajaran mikro sebelum ini. Ini sejajar dengan tujuan pengajaran makro itu sendiri iaitu untuk membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran. Antara kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran penyampaian set induksi; kemahiran menerang dengan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber pengajaran dan pembelajaran; kemahiran penggunaan penyoalan; kemahiran pengelolaan variasi rangsangan; kemahiran penggunaan papan kapor; kemahiran pengurusan aktiviti pengukuhan; dan kemahiran pelaksanaan penutup.

Selepas Pengajaran (Refleksi Sesi Makro)
Setelah selesai sesi pengajaran, guru mestilah membuat penilaian kendiri sebagai refleksi atau muhasabah berkenaan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran tersebut perlu dibaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang boleh dibuat refleksi ialah pencapaian objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid serta keazaman guru bagi membaiki pengajarannya.http://naa87.blogspot.my/2012/06/apa-itu-pengajaran-makro.html

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PROSES PEMBELAJARAN

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PROSES PEMBELAJARAN 1.          KESEDIAAN BELAJAR Kesediaan belajar tidak wujud secara semulajad...